Pemain Sime Darby meraikan kejayaan ke perlawanan akhir Piala FA selepas mengikat Terengganu tanpa jaringan pada separuh akhir kedua di Stadium MP Selayang, kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Tiada gerakan kreatif dari bahagian tengah menyebabkan jentera serangan sukar mencari gol, menjadi punca Terengganu tersingkir daripada Piala FA apabila seri tanpa jaringan dengan Sime Darby pada separuh akhir kedua, kelmarin.
Ia membolehkan pasukan berstatus kelab, Sime Darby mara ke perlawanan akhir menentang Kelantan dengan agregat 2-1, yang mereka catatkan pada separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, sebelum ini.
Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kecewa dengan kemaraan pasukannya yang disekat kelmarin dan menyifatkan kegagalan menjaringkan gol punca mereka tersingkir.
Menurutnya, pemain kurang idea dan tidak kreatif terutama pada bahagian tengah sehingga menyebabkan tiada serangan yang mampu menjelmakan jaringan gol.
"Pada babak pertama pemain ada melakukan percubaan ke arah gol namun pada babak kedua, usaha mencari gol menjadi semakin sukar apabila semua pergerakan dikawal rapi pertahanan Sime Darby.
"Kalau kita tengok, skuad malam ini adalah pemain yang sama ketika kita menentang Song Lam Nghe An kecuali Sarbinee, mungkin tuah tidak memihak kami pada perlawanan ini," katanya semalam.
Tambah Mat Zan, kalah dengan agregat 1-2 hasil jaringan Sime Darby di Kuala Terengganu memberikan tamparan hebat buat pasukannya, yang membenam Kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 pada Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) Rabu lalu.
"Saya tidak mahu salahkan pemain kerana saya tahu mereka sudah berjuang berhabis-habisan.
"Malah saya tabik kepada mereka yang masih bersemangat dan tetap berusaha untuk memberi tentangan sepanjang 90 minit perlawanan.
"Cuma sebagai jurulatih, sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan ini dan kita perlu menerima apa jua situasi yang berlaku selepas ini," katanya.
Secara keseluruhan Terengganu menguasai permainan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.
Namun Penyu gagal menjaringkan gol biarpun asakan Francis Forkey Doe dan Ashaari Shamsudin dalam memburu gol awal hampir membuahkan hasil.
Pada babak kedua, Terengganu mula memperkemaskan jentera serangan bagaimanapun gagal memecah benteng pertahanan pasukan lawan malah ketiadaan penyerang import sensasi, Forkey Doe yang terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan pada minit ke-50 sedikit merencatkan skuad Penyu.
Benteng pertahanan Sime Darby yang begitu berdisiplin apabila mengikat perlawanan tanpa jaringan sehingga sehingga wisel dibunyikan oleh pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab. - Sumber