Che Mat: Jumpa Di Mahkamah Nanti!

JUMPA di mahkamah nanti! Itulah saranan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Che Mat Jusoh selepas menemui jalan buntu mencari penyelesaian penamatan kontrak bekas ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris.

Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata, khidmat peguam mungkin terpaksa digunakan selepas Mat Zan menolak pemberian bayaran pampasan berjumlah dua bulan gaji.

"Mengikut kontrak ditandatangani, pihak kami cuma perlu membayar satu bulan gaji kepada jurulatih andai kontraknya ditamatkan awal. Kami sudah menawarkan dua bulan gaji sebagai pampasan, namun Mat Zan tidak setuju dan meminta kami membayar semua gajinya hingga akhir tahun ini,” katanya.

Menurutnya, permintaan jurulatih berusia 54 tahun itu yang mengikat kontrak hingga akhir tahun depan tidak dapat ditunaikan walaupun persatuan mungkin sedia menimbangkan tambahan satu bulan gaji lagi.

"Kami diberitahu Mat Zan sedia melantik peguam bagi mencari jalan penyelesaian dan kami juga terpaksa mengambil tindakan sama dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kami sebenarnya ingin menyelesaikan masalah ini dengan segera bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pasukan dan kami harap Mat Zan juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Katanya, persatuan boleh mengekalkan Mat Zan yang sebelum ini mengemudi Pos Malaysia dalam Liga Perdana dengan memberinya tugas baru dalam pasukan kerana posisi ketua jurulatih sudah diisi bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler.

"Namun kami tidak mahu memalukan Mat Zan dengan memberinya tugas kelas bawahan kerana dia memiliki sijil kejurulatihan kelas tertinggi.

"Kami ingin berpisah dengan Mat Zan secara baik dan juga mahu dia kembali menjadi ketua jurulatih pasukan lain dalam masa terdekat,” katanya selepas sidang media pengumuman perlawanan persahabatan Terengganu menentang kelab Indonesia, PSM Makassar di Kuala Terengganu, 9 Jun ini.

Katanya, perlawanan persahabatan itu termasuk dalam Siri Nusantara antara Malaysia dan Indonesia yang dianjurkan Broadway Media.

"Kami anggap perlawanan ini penting kerana perlu membuat persediaan untuk bertemu T-Team apabila Liga Super bermula kembali 15 Jun,” katanya.- Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: