Pengerusi PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata perlawanan persahabatan tersebut akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah mulai pukul 8.45 malam.
"Pasukan Penyu akan bertandang ke stadium lawan di Makassar pada 18 Jun dalam usaha kedua-dua pasukan meningkatkan mutu bola sepak.
"Malah kita mahu menguji pasukan kita dengan pasukan luar kerana skuad kendalian Butler perlukan usaha berterusan meneruskan baki cabaran Liga Super dan Piala Malaysia tidak lama nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar perlawanan persahabatan tersebut, di sini hari ini.
Che Mat yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata peminat bola sepak Terengganu boleh mendapatkan tiket di kaunter pembelian pada hari perlawanan.
"Harga tiket bernilai RM20 (berbumbung) dan RM10 (terbuka) serupa seperti perlawanan bola sepak Liga Super," katanya.
Che Mat berkata perlawanan tersebut pastinya menarik dimana pasukan lawan selain mempunyai beberapa pemain kebangsaan Indonesia, mereka juga mempunyai pemain import dari Australia, Arab Saudi, Nigeria dan Cameroon.
PSM Makassar yang mendapat jolokan nama 'Pasukan Ramang' di kalangan penyokongnya kini menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Perdana Indonesia.
Sehubungan itu, Che Mat berkata perlawanan ini membuka jalan bagi perlawanan saingan Piala Nusantara yang sedang diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada masa akan datang. - Sumber