Izzaq Faris Tekad Bantu Pasukan Kelahiran

Kuala Terengganu: Beraksi hambar di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini sedikitpun tidak melemahkan semangat bekas penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan untuk merebut tempat kesebelasan utama bersama pasukan Terengganu.

Malah, pemain berusia 24 tahun itu berazam musim pertama bersama pasukan negeri kelahirannya akan membawa tuah dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirai 18 Januari ini.

Izzaq Faris berkata, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat mahu pulang bermain bersama Terengganu dalam Liga M, namun sebelum ini masih terikat dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

“Selepas saya dilepaskan dari skuad Harimau Muda, saya tidak memikirkan soal tawaran lain selain membuat keputusan muktamad untuk pulang bermain bersama Terengganu.

“Saya rasa keputusan yang terbaik dalam meneruskan karier dalam bola sepak dan matlamat saya adalah mahu membantu pasukan kelahiran berjaya dalam Liga M musim ini,” katanya yang menolak beberapa tawaran lumayan termasuk pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyerang berasal dari Kampung Pulau Tempurung, Kemaman berkata, dia berharap musim 2014 akan membawa tuah kepadanya selepas beraksi hambar bersama Harimau Muda A yang mula disertai sejak 2008.

Anak kedua daripada lima beradik yang pernah bermain untuk T-Team pada 2007 hingga 2008 itu berkata, sebelum ini dia terpaksa berehat panjang selama tujuh bulan akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) lutut kiri.

“Bagaimanapun, kecederaan itu tidak sesekali melunturkan semangat saya untuk bangkit sekali gus berjaya menempatkan diri semula dalam skuad Harimau Muda A Mei tahun lalu.

“Saya tidak mahu menjadikan kecederaan sebagai alasan beraksi hambar di atas padang sebaliknya akan berusaha memberikan aksi terbaik bagi menambat hati jurulatih Abdul Rahman Ibrahim,” katanya.

Izzaq Faris berkata, dia akan mula menjalani latihan pertama bersama skuad Penyu, esok selepas tidak berkesempatan kerana menyertai Sukan SEA.

“Biarpun tidak pernah menjalani latihan bersama pasukan Terengganu, saya bertekad merebut tempat kesebelasan utama menjelang sepak mula Liga Super yang bakal membuka tirainya 18 Januari ini.

“Saya sedar bukan mudah untuk merebut tempat dengan penyerang import dan pemain tempatan yang lebih berpengalaman, tetapi saya akan buktikan sekiranya diberikan peluang oleh jurulatih,” katanya. - Sumber
Baca Selanjutnya...

Stadium Sultan Mizan Dibaiki Lepas Raya

Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang bumbungnya runtuh tiga tahun lalu bakal dimulakan selepas Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, anggaran awal sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih melibatkan keseluruhan struktur stadium itu.

Katanya, ia meliputi kerja-kerja membaik pulih lantai, tiang, tempat duduk penonton, struktur kalis air, pendawaian elektrik sementara serta kerja-kerja berkaitan mekanikal.

“Kajian keseluruhan bagi pembaikan stadium itu telah siap dan kita akan mulakan kerja-kerja baik pulih selepas Hari Raya Aidilfitri, namun kita tidak tidak tahu peruntukan sebenar setakat ini kerana ia akan dinilai selepas tender dibuat dan fasa pertama siap.

“Bagaimanapun, sebanyak RM14 juta diperuntukkan untuk peringkat awal ini dan ia juga melibatkan proses reka bentuk struktur bumbung baru yang dibina agar tidak membebankan struktur asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) berkenaan status terkini kes stadium itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Pada 2 Jun 2009, selepas kira-kira setahun digunakan bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2008, stadium itu mengalami kerosakan apabila bumbungnya di lokasi menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Dalam pada itu, Za’abar turut memaklumkan sebahagian tender untuk projek membaik pulih itu dibuat secara lantikan terbuka manakala sebahagian lagi melalui kerajaan negeri.

“Kita buat begitu supaya kerja-kerja tertentu dilakukan kontraktor yang khusus dalam bidang itu manakala kerja-kerja sampingan lain kita akan buka kepada umum,” katanya – Sumber
Baca Selanjutnya...

Manaf Tekad Tebus Kekecewaan Dalam Saingan Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos (Bernama) -- Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat bertekad menebus kekecewaan dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, semangatnya memburu Piala Malaysia semakin membuak-buak setelah pasukan Penyu gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga Super.

Beliau berkata kegagalan tersebut jelas memberi semangat dan nafas baru bukan sahaja kepada dirinya malah semua pemain untuk memburu piala berprestij itu.

"Secara jujurnya saya sememangnya mengharapkan dapat mendakap dan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu setelah 11 tahun kemarau untuk menjulang piala itu.

"Tahun lalu saya pernah merasai nikmat menjulang Piala FA dan kini saya berharap dapat mengulanginya pada Piala Malaysia selepas pasukan kami gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA," katanya ketika dihubungi Sumber
Baca Selanjutnya...

‘Ini balasan saya terima’ - Mat Zan

SAYU hati bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, mengenangkan nasib malangnya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketika menandatangani kontrak dua tahun sebagai ketua jurulatih akhir tahun lalu, sedikit pun tidak terlintas di fikirannya yang beliau akan kehilangan jawatan dua bulan sebelum tibanya Ramadan tahun ini.

Menurut jurulatih berusia 54 tahun itu, kepulangannya ke Terengganu untuk mengambil tempat Irfan Bakti bagaikan mimpi menjadi kenyataan kerana pada 2001, dia pernah mengecapi saat manis menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih pasukan Penyu.

"Ini akhirnya balasan ke atas saya," kata jurulatih kelahiran Melaka yang meninggalkan tugasnya sebagai jurulatih Pos Malaysia untuk kembali melatih Terengganu buat kali kedua.

Mimpi indah Mat Zan tidak kekal lama apabila direhatkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) awal Mei lalu selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila kecundang di suku akhir kepada Sime Darby.

Pada masa itu, Terengganu masih berada di tangga ketiga Liga Super di samping berpeluang mara ke peringkat kedua dalam saingan Piala AFC.

"Mungkin pihak pengurusan rasa Terengganu, sebagai juara bertahan Piala FA, tidak sepatutnya tewas kepada pasukan yang bermain dalam Liga Perdana seperti Sime Darby,” katanya.

Selama dua minggu, tugasnya diambil alih oleh Khalid Mat Dahan, sebelum pengurusan PBSNT membuat keputusan mengikat Peter Butler sebagai jurulatih baru Terengganu.

"Mereka menawarkan pampasan dua bulan gaji untuk penamatan awal kontrak, namun saya meminta supaya mereka melunaskan gaji saya sehingga akhir tahun kerana sukar buat saya mencari pekerjaan baru di pertengahan musim,” katanya.

Perbincangan penamatan kontraknya berterusan sehingga dia menyerahkan semula rumah dan kereta kepada pihak pengurusan PBSNT hampir sebulan kemudian.

"Saya menerima gaji bulan Mei seperti biasa dan beranggapan mereka akan terus membayar gaji saya seperti diminta kerana mengikut terma kontrak, saya masih lagi ketua jurulatih pasukan.

"Namun ternyata mereka lebih licik kerana akhirnya saya menerima surat penamatan kontrak daripada PBSNT kerana tidak hadir bekerja selepas tempoh saya direhatkan tamat sedangkan pada masa itu mereka sudah mengambil Butler sebagai jurulatih,” katanya.

Selepas perundingan dengan PBSNT menemui jalan buntu, Mat Zan, baru-baru ini mengambil langkah lain dengan mengadu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya dapat dirujuk kepada jawatankuasa timbang tara.

"Namun saya dinasihatkan supaya menghantar tuntutan saya sekali lagi kepada PBSNT dan memberi tempoh sewajarnya kepada mereka untuk memberi pertimbangan sewajarnya.

"Saya sudah pun menghantar tuntutan bayaran enam bulan gaji kepada PBSNT dan saya berharap mereka dapat melunaskan semuanya dalam masa terdekat dan kalau boleh sebelum tibanya Aidilfitri,” katanya. - Sumber
Baca Selanjutnya...

Terengganu Pertaruh Pemain Sedia Ada

TERENGGANU belum pasti menggunakan khidmat beberapa pemain pinjaman untuk menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan bermula selepas Aidilfitri nanti.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, ini kerana pemain-pemain pilihan yang menjadi rebutan di kalangan pasukan yang bertanding sudah dipancing pasukan lain.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, skuad Penyu berkemungkinan memberi perhatian sepenuhnya kepada pemain sedia ada.

Che Mat turut yakin beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan seperti pemain tengah, Reeshafiq Alwi, Abdul Manaf Mamat (penyerang) dan Sharbinee Allawee (penjaga gol) dijangka akan sembuh menjelang perlawanan itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Kerajaan Negeri sedia menggunakan khidmat pemain luar untuk memantapkan pasukan Terengganu sekiranya berjaya melangkah ke saingan Piala Malaysia. - Sumber
Baca Selanjutnya...

Strategi Terengganu Hadapi Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri akan menggunakan khidmat pemain luar sekiranya dibenarkan untuk memantapkan pasukan Terengganu bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang bermula selepas Aidilfitri nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu perlu diambil untuk memastikan pasukan Terengganu dilengkapi dengan 'jentera' terbaik.

"Kejohanan Piala Malaysia merupakan peluang terakhir untuk Terengganu kembali menunjukkan prestasi terbaik mereka.

“Jika peraturan membenarkan, saya rasa tidak salah untuk kita mengambil pemain luar bagi memperkemaskan pasukan Terengganu," katanya.

Cadangan itu berikutan beberapa pemain utama Terengganu, kapten pasukan, Marzuki Yusof, Reeshafiq Alwi (pemain tengah), Abdul Manaf Mamat (penyerang) dan Sharbinee Allawee (penjaga gol) masih dibelengg masalah kecederaan dan belum pulih sepenuhnya.

“Saya syorkan agar kita pinjam beberapa pemain untuk menggantikan mereka (pemain) yang cedera. Tapi pihak pengurusan perlulah buat rundingan,” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk pada hari pertama puasa kepada rakyat di Masjid Abidin di sini, kelmarin.

Selain itu, Ahmad meminta pihak pengurusan, jurulatih dan pemain pasukan bola sepak Terengganu untuk memberikan komitmen yang terbaik bagi memastikan prestasi cemerlang dapat ditunjukkan. - Sumber
Baca Selanjutnya...