Stadium Sultan Mizan Dibaiki Lepas Raya

Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang bumbungnya runtuh tiga tahun lalu bakal dimulakan selepas Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, anggaran awal sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih melibatkan keseluruhan struktur stadium itu.

Katanya, ia meliputi kerja-kerja membaik pulih lantai, tiang, tempat duduk penonton, struktur kalis air, pendawaian elektrik sementara serta kerja-kerja berkaitan mekanikal.

“Kajian keseluruhan bagi pembaikan stadium itu telah siap dan kita akan mulakan kerja-kerja baik pulih selepas Hari Raya Aidilfitri, namun kita tidak tidak tahu peruntukan sebenar setakat ini kerana ia akan dinilai selepas tender dibuat dan fasa pertama siap.

“Bagaimanapun, sebanyak RM14 juta diperuntukkan untuk peringkat awal ini dan ia juga melibatkan proses reka bentuk struktur bumbung baru yang dibina agar tidak membebankan struktur asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) berkenaan status terkini kes stadium itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Pada 2 Jun 2009, selepas kira-kira setahun digunakan bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2008, stadium itu mengalami kerosakan apabila bumbungnya di lokasi menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Dalam pada itu, Za’abar turut memaklumkan sebahagian tender untuk projek membaik pulih itu dibuat secara lantikan terbuka manakala sebahagian lagi melalui kerajaan negeri.

“Kita buat begitu supaya kerja-kerja tertentu dilakukan kontraktor yang khusus dalam bidang itu manakala kerja-kerja sampingan lain kita akan buka kepada umum,” katanya – Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: