Masalah membelenggu skuad penyu muda ini nyata menggusarkan jurulatih mereka, Yunus Alif dalam mengharungi enam baki perlawanan liga sebelum ia berakhir seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan (14 Julai).
Jurulatih berusia 54 tahun ini memberitahu anak buahnya itu seolah-olah berada dalam keadaan 'tidak tenang' ketika berada di atas padang.
"Apa yang menyedihkan, pemain tidak mematuhi arahan dan mempraktikkan apa yang diajar apabila mengekang asakan pasukan lawan. "Dari pemerhatian saya, sejak kebelakangan ini mereka kehilangan semangat menyebabkan mutu permainan telah merosot," kata Yunus.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan T-Team yang terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 bersama Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.
Yunus berkata pemain tidak menggunakan sepenuhnya keluasan padang dan selalu membuat hantaran bola lambung ke tengah padang menyebabkan kurangnya menerima hantaran bola tepat ke kaki.
"Saya tidak ajar mereka main begitu, tetapi kerana tekanan dan asakan, mereka buat apa sahaja untuk lepaskan bola," katanya.
Dalam perlawanan malam tadi, Yunus membuat percaturan dengan menurunkan ramai pemain simpanan ekoran beberapa pemain tonggak utama mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelumnya.
Namun beliau terkilan kerana pemain simpanan tidak mempamerkan aksi yang diharapkan, mungkin disebabkan terlalu lama berada di atas bangku simpanan.
T-Team kini menduduki tangga ketujuh dengan 28 mata akan bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah Selasa ini. - Sumber