Bekas ketua jurulatih pasukan Penyu itu berkata, bukan saja beliau ‘digantung tak bertali’, kini tindakan disiplin juga perlu dihadapinya kerana gagal hadir bertugas selepas tempoh rehat dua minggunya tamat 16 Mei lalu.
“Selepas menerima surat daripada persatuan yang memerlukan penjelasan mengapa saya tidak datang bertugas, saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.
“Mereka sudah tidak mahu saya lagi sebagai ketua jurulatih, mereka mengambil Peter Butler untuk menggantikan tempat saya dan kini saya dipersoal kerana tidak datang bertugas,” katanya yang kini berada di Kuala Terengganu untuk bertemu pengurusan persatuan.
Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, anggaplah saja beliau kembali ke Kuala Terengganu untuk melaporkan diri semula sekiranya masih lagi menjadi ketua jurulatih Terengganu.
“Namun, sebelum ini saya mengosongkan penginapan dan menyerahkan kereta kepada persatuan dan mereka perlu mengembalikan semua itu jika saya masih ketua jurulatih mereka.
“Apa yang berlaku antara saya dan PBSNT agak pelik, namun saya sanggup memberi kerjasama supaya proses penamatan kontrak ini dilaksanakan dengan cara terbaik,” katanya.
Mengenai kontrak dua tahun yang cuma akan tamat pada hujung tahun depan, Mat Zan berkata, perbincangan mengenai penamatan kontraknya sudah lama dimulakan dan kedua-dua pihak sudah menyatakan pendirian masing-masing.
“Saya cuma mahukan apa yang sepatutnya diberikan kepada saya mengikut perjanjian yang ditandatangani secara baik dan saya harap pihak persatuan juga dapat mengambil pendekatan terbaik dalam hal ini.
“Mereka juga tahu bukan senang untuk jurulatih bola sepak mencari pekerjaan baru di pertengahan musim dan semua itu perlu diambil kira dalam perkiraan bayaran pampasan mereka,” kata bekas jurulatih Pos Malaysia yang menggantikan tempat Irfan Bakti dalam pasukan Terengganu di penghujung musim lalu.
Menurutnya, Terengganu masih mencari rentak kemenangan selepas tempatnya diambil alih penolong jurulatih Khalid Mat Dahan sebelum ketibaan bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler.
“Terengganu berada di tangga ketiga liga apabila saya direhatkan dan kini mereka jatuh ke tangga keenam selain terkeluar daripada saingan Piala AFC selepas tewas kepada Kelantan,” katanya. - Sumber