Forkey Doe Hilang Tanpa Berita

KEHILANGAN penyerang berbisa Francis Forkey Doe menjadi tanda tanya kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler ketika melakukan percaturan pemain bagi menghadapi pasukan T-Team pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pemain berusia 26 tahun dari Liberia yang menjadi idola peminat skuad Penyu masih belum pulang ke pangkuan pasukan selepas menggalas misi antarabangsa bersama pasukan negaranya.

Kegagalan Forkey Doe pulang ke Terengganu tanpa sebarang berita mengecewakan Butler yang terpaksa berdepan masalah tiga lagi pemain tonggak yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Dia sepatutnya kembali 4 Jun lalu tetapi belum lagi. Dia juga tidak menghubungi saya atau pengurusan menjelaskan perkara sebenar,” kata Butler kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

"Saya amat kecewa dengan kelakuannya. Kami mahukan pemain yang komited dan dia tidak menunjukkan sebarang komitmen penuh kepada saya atau pasukan.” Selain Forkey Doe yang ‘hilang’ tanpa berita, ketua pasukan, Marzuki Yusof, Ashaari Shamsudin dan pemain import, Erison Da Silva dari Brazil masih belum pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, pihaknya kehilangan kapten Zairo Anuar Zailani yang mengalami kecederaan pangkal paha serta penyerang Brazil, Marco Tulio yang kejang otot betis.

"Kehilangan kedua-dua pemain itu satu tamparan besar tapi kami mempunyai Faiz Subri dan Fadzli Shaari yang boleh meningkatkan jentera pasukan,” katanya.

Terengganu kini menghuni tangga keenam dengan 27 mata dalam saingan Liga Super manakala T-Team keempat dengan mata sama namun berbeza dari segi jaringan. - Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: