Terengganu Sandar Harapan Besar Pada Butler

KUALA TERENGGANU- Terengganu menyandarkan harapan tinggi kepada jurulatih baharu Peter James Butler untuk membawa pasukan itu ke peringkat suku akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Butler, yang menggantikan ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris, bakal menjalani ujian pertama apabila berdepan dengan bekas pasukan bimbingannya, Kelantan pada pusingan kedua Piala AFC.

Kedua-dua pasukan Pantai Timur itu akan bertemu pada perlawanan timbal balik pusingan kedua Piala AFC di Stadium Sultan Mohammed ke-IV di Kota Bharu pada 23 Mei ini.

Penolong pengurus pasukan Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof yakin impian skuad Penyu itu akan tercapai di bawah bimbangan Butler yang pernah melatih Kelantan pada 2009 sebelum melatih kelab Persiba dari Indonesia.

"Kita harap beliau (Butler) boleh melakukan sesuatu yang ajaib dalam menghadapi Kelantan nanti," katanya kepada Bernama hari ini.

Sheikh Tajudin, yang juga naib presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), berkata matlamat Terengganu adalah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir.

Sambil mengakui prestasi sedikit menurun sejak kebelakangan ini, katanya Butler yang berasal dari England itu, akan cuba mengatasi segala kelemahan dan menaikan semangat anak buahnya sebelum bertandang ke Kota Bharu.

Katanya pertemuan dalam pusingan kedua Piala AFC itu bukan sahaja perlawanan timbal balik tetapi saingan kalah mati dan oleh itu Terengganu memberi tumpuan sepenuhnya bagi persiapan menentang Kelantan.

Terengganu muncul naib juara Kumpulan F di belakang pasukan Kitchee dari Hong Kong manakala Kelantan pula juara Kumpulan H.

Kitchee pula akan menentang naib juara Kumpulan H, Arema FC dari Indonesia pada pusingan kedua. - Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: