Mat Zan Tak Mahu Berdiam Diri

MAT Zan Mat Aris kini sah ‘bercerai’ dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Namun menurut bekas ketua jurulatih pasukan Penyu yang menerima surat penamatan kontraknya beberapa hari lalu berkata, perceraian itu belum tentu sah di sisi undang-undang.

Ini kerana PBSNT menuduhnya melanggar perjanjian kerana tidak hadir bekerja selepas tempoh dua minggu beliau direhatkan berakhir pada 16 Mei lalu dan kontrak dua tahunnya terbatal begitu saja sebulan selepas tarikh itu.

"Sekarang baru saya faham mengapa sebelum ini saya diutus surat untuk menjelaskan kegagalan saya hadir bekerja selepas direhatkan selama dua minggu.

"Rupa-rupanya mereka mahu menamatkan kontrak saya tanpa membayar sebarang pampasan namun saya tidak rela diperlakukan sebegini dan tidak akan berdiam diri dengan taktik tidak sihat ini," katanya.

Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari keadilan dalam masa terdekat.

"Persatuan tidak menyatakan tempoh rehat saya dipanjangkan hingga akhir Mei dan mereka juga gagal menyatakan perbincangan mengenai penamatan kontrak saya bermula dalam tempoh saya direhatkan.

"Mereka juga gagal menyatakan tawaran pampasan dua bulan gaji yang ditawarkan dan memohon supaya saya dibayar hingga tamat musim ini," katanya.

Mat Zan yang melatih Pos Malaysia sebelum mengisi kekosongan ditinggalkan Irfan Bakti Abu Salim di Terengganu akhir musim lalu berkata, PBSNT juga menjelaskan pelantikan bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler untuk menggantikannya.

"Saya mempunyai tugasan sebagai ketua jurulatih namun tempat saya itu sudah diberikan kepada Butler dan persatuan menuduh saya tidak hadir bertugas.

"Selepas khidmat saya tidak diperlukan lagi, rumah dan kereta yang diberikan sudah saya pulangkan namun mereka mendakwa saya sebenarnya masih lagi ketua jurulatih pasukan selama ini," katanya. - Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: