‘Ini balasan saya terima’ - Mat Zan

SAYU hati bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, mengenangkan nasib malangnya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketika menandatangani kontrak dua tahun sebagai ketua jurulatih akhir tahun lalu, sedikit pun tidak terlintas di fikirannya yang beliau akan kehilangan jawatan dua bulan sebelum tibanya Ramadan tahun ini.

Menurut jurulatih berusia 54 tahun itu, kepulangannya ke Terengganu untuk mengambil tempat Irfan Bakti bagaikan mimpi menjadi kenyataan kerana pada 2001, dia pernah mengecapi saat manis menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih pasukan Penyu.

"Ini akhirnya balasan ke atas saya," kata jurulatih kelahiran Melaka yang meninggalkan tugasnya sebagai jurulatih Pos Malaysia untuk kembali melatih Terengganu buat kali kedua.

Mimpi indah Mat Zan tidak kekal lama apabila direhatkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) awal Mei lalu selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila kecundang di suku akhir kepada Sime Darby.

Pada masa itu, Terengganu masih berada di tangga ketiga Liga Super di samping berpeluang mara ke peringkat kedua dalam saingan Piala AFC.

"Mungkin pihak pengurusan rasa Terengganu, sebagai juara bertahan Piala FA, tidak sepatutnya tewas kepada pasukan yang bermain dalam Liga Perdana seperti Sime Darby,” katanya.

Selama dua minggu, tugasnya diambil alih oleh Khalid Mat Dahan, sebelum pengurusan PBSNT membuat keputusan mengikat Peter Butler sebagai jurulatih baru Terengganu.

"Mereka menawarkan pampasan dua bulan gaji untuk penamatan awal kontrak, namun saya meminta supaya mereka melunaskan gaji saya sehingga akhir tahun kerana sukar buat saya mencari pekerjaan baru di pertengahan musim,” katanya.

Perbincangan penamatan kontraknya berterusan sehingga dia menyerahkan semula rumah dan kereta kepada pihak pengurusan PBSNT hampir sebulan kemudian.

"Saya menerima gaji bulan Mei seperti biasa dan beranggapan mereka akan terus membayar gaji saya seperti diminta kerana mengikut terma kontrak, saya masih lagi ketua jurulatih pasukan.

"Namun ternyata mereka lebih licik kerana akhirnya saya menerima surat penamatan kontrak daripada PBSNT kerana tidak hadir bekerja selepas tempoh saya direhatkan tamat sedangkan pada masa itu mereka sudah mengambil Butler sebagai jurulatih,” katanya.

Selepas perundingan dengan PBSNT menemui jalan buntu, Mat Zan, baru-baru ini mengambil langkah lain dengan mengadu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya dapat dirujuk kepada jawatankuasa timbang tara.

"Namun saya dinasihatkan supaya menghantar tuntutan saya sekali lagi kepada PBSNT dan memberi tempoh sewajarnya kepada mereka untuk memberi pertimbangan sewajarnya.

"Saya sudah pun menghantar tuntutan bayaran enam bulan gaji kepada PBSNT dan saya berharap mereka dapat melunaskan semuanya dalam masa terdekat dan kalau boleh sebelum tibanya Aidilfitri,” katanya. - Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: