"Saya memohon maaf jika kata-kata saya menyinggung semua wartawan terutama di Terengganu. "Saya tidak bermaksud kepada semua wartawan tetapi komen itu ditujukan kepada wartawan yang menulis apa yang saya tidak kata," katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Butler menegaskan, beliau sentiasa menjaga hubungan baik dengan media tetapi apa yang mengecewakannya apabila ada wartawan yang sentiasa mahu menunjukkan aspek negatif terhadap pasukannya.
Pengendali berasal dari England itu berkata, media di Terengganu bersikap adil tetapi terdapat wartawan di negeri lain seperti Kuala Lumpur, yang tidak tepat dengan cara yang mereka jalankan kerja.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, berkata Butler tidak sepatutnya mengikut emosi dan mesti berfikir dua kali sebelum membuat sebarang komen.
Beliau mengingatkan Butler supaya menjadi lebih bijaksana pada masa akan datang kerana wartawan dan semua ahli media diibaratkan seperti rakan seperjuangan pasukan.
"Saya juga kesal dengan kenyataan yang dibuat Butler dan tindakannya memohon maaf kepada wartawan satu langkah tepat dan berharap perkara ini tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya. - Sumber