Jurulatih Yunus Alif berkata pihaknya tidak teragak-agak berbuat demikian memandangkan saingan liga hanya tinggal baki tujuh perlawanan musim ini.
"Kita akan buat perubahan drastik dan mana-mana pemain yang tidak cemerlang kita akan keluarkan dari skuad utama," katanya kepada Bernama ketika mengulas kekalahan 0-5 T-Team kepada Selangor malam tadi.
T-Team seterusnya akan melayani pasukan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada Sabtu ini.
Mengulas selanjutnya, Yunus berkata pada perlawanan semalam terdapat beberapa pemain yang tidak beraksi cemerlang dan akan direhatkan sehingga prestasi mereka kembali baik.
Dalam pada itu, katanya pasukannya yang kini menghuni tangga ketujuh liga, perlu bangkit dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan supaya mereka tidak kehilangan mata yang diperlukan untuk memanjat tangga liga.
Beliau berkata dalam perlawanan itu kemungkinan T-Team akan kehilangan beberapa pemain utama seperti ketua pasukan Rosdi Talib, Norfazly Alias, Zairo Anuar Zalani dan pemain import dari Brazil, Marco Tulio Lopez Silva kerana masih dibelenggu cedera.
Katanya pemain tengah Tengku Hasbullah Raja Hassan pula dikenakan hukuman gantung akibat dibuang padang semalam.
"Berikutan keadaan itu, saya kini sedang melihat barisan pemain simpanan yang ada untuk mengisi kekosongan tersebut dengan harapan mereka dapat memberikan persembahan yang terbaik," katanya. - Sumber