Lebih manis, kejayaan besar itu turut membawa skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris melangkah ke pusingan kedua sekali gus menafikan hajat segelintir peminat berhimpun untuk mengadakan bantahan biarpun kain rentang sudah dibawa mereka.
“Perubahan formasi permainan selain kata-kata semangat yang dilontar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum perlawanan nyata membakar semangat pemain untuk memperagakan aksi terbaik biarpun saya akui pemain dihimpit tekanan dengan amukan peminat,” kata Mat Zan yang kembali tersenyum selepas berjaya merakam kemenangan bergaya itu.
Menurutnya, anak buahnya mengikut arahan yang diberikan termasuk membantu barisan pertahanan setiap kali lawan melakukan serangan ke kubu pasukan Terengganu.
“Dalam perlawanan sebelum ini, hanya pemain pertahanan berusaha keras menangkis asakan lawan manakala jentera tengah kurang membantu tapi malam ini (kelmarin) semua pemain bekerja keras memastikan kami layak ke pusingan kedua biarpun berada di tangga kedua kumpulan di belakang Kitchee dari Hong Kong. - Sumber