Marzuki Yusoff Minta Penyokong Berfikiran Rasional

KUALA TERENGGANU - Kapten pasukan Terengganu Marzuki Yusoff meminta penyokong setia sang penyu agar berfikiran secara rasional dan bukannya bertindak mengikut perasaan.

Katanya tindakan yang dilakukan oleh penyokong hanya merugikan sekaligus meruntuhkan semangat pemain.

"Penyokong adalah segalanya dan penguat semangat untuk kami berjuang di atas padang, bukannya masa kami menang disokong dan setiap kali kalah mereka buat tunjuk perasaan.

"Jika penyokong sayangkan pasukan Terengganu mereka perlu memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dan perlu berfikiran waras bukannya mengikut emosi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya siri kekalahan berturut-turut yang dialami pasukan itu termasuk yang terbaru tewas 2-1 kepada pasukan Sime Darby dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir di sini malam tadi harus dijadikan sebagai penguat semangat untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Marzuki kini terpaksa direhatkan selama tiga bulan setelah menjalani pembedahan pada bahagian lutut bulan lalu.

Sementara itu penyokong setia pasukan itu Mohd Arif Kori, 28, berkata sebagai penyokong beliau mahu pengurusan mencari formula terbaik untuk memperbaiki keadaan yang menimpa pasukan kesayangannya itu

Katanya beliau kurang bersetuju dengan tindakan segelintir penyokong yang gagal mengawal perasaan dan mengadakan demonstrasi kerana itu bukanlah cara terbaik bagi menyelesaikan perkara terbabit.

"Kita akan memberi peluang sekali lagi kepada pengurus pasukan untuk memperbetulkan isu terbabit agar tidak menimbulkan kemarahan penyokong lagi," katanya.

Terengganu yang merupakan bekas juara Piala FA pada 2000 dan 2011, diaibkan di gelanggang sendiri apabila kalah kepada pasukan berstatus kelab itu dan akan bertemu Sime Darby dalam pusingan kedua di tempat lawan pada 1 Mei ini.

Ekoran kekalahan itu, penyokong pasukan berkenaan mengadakan demonstrasi menuntut Pengurus Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh dan jurulatih, Mat Zan Mat Aris meletak jawatan.

Kira-kira 100 penyokong turut bertindak liar dengan menyerang dan membaling objek ke rumah Che Mat 11.30 malam tadi namun mereka bersurai setelah pihak polis tiba untuk mengawal keadaan.- Sumber

Artikel Berkaitan:-

Comments
0 Comments

0 comments: